Tuesday, December 6, 2011

jANgan bERkata KALAU........

Elakkan Berkata "KALAU"

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
Mukmin yang kuat lebih disukai oleh Allah daripada mukmin yang lemah. Namun pada kedua-duanya ada kebaikan. Berjaga-jagalah terhadap perkara yang boleh mendatangkan kebaikan kepada engkau, pintalah pertolongan daripada Allah. Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:

”Sekiranya (kalau) aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah: Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki Nya, sesungguhnya ‘kalau’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” (Riwayat Muslim)

Huraian
1. Kekuatan seseorang Muslim itu diukur bukan sahaja dari segi fizikal (tubuh badan) tetapi juga dinilai daripada aspek kekuatan iman. Bahkan itulah yang paling penting.

2. Orang yang sentiasa berwaspada terhadap nikmat kehidupan di dunia tidak akan mudah terjerumus dalam perangkap syaitan. Segala tindakan yang diambil mencerminkan ketaqwaannya kepada Allah dan dia sekali-kali tidak membiarkan kebaikan dan keburukan yang menimpanya sebagai suatu kegembiraan (kemenangan) dan kesedihan semata tetapi percaya bahawa semuanya itu mempunyai hikmah yang tersendiri daripada Allah untuk diambil pengajaran.

3. Ucapan ‘kalau’ tidak harus diamalkan kerana ia seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak redha dengan apa yang telah berlaku. Sebaliknya kita hendaklah sentiasa berfikiran positif dan ingat bahawa segala yang baik itu datangnya daripada Allah dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri kita sendiri. Oleh sebab itu Islam menyuruh umatnya agar bertawakkal (berserah) kepada Allah SWT dalam melakukan sesuatu usaha dan percaya bahawa setiap sesuatu itu tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya jua...




Senyum. Bahagia. Tenang.
Ke mana perginya hari-hari gelap itu? Hilangnya tidak disedari. Lesapnya tidak mengesankan lagi.
Alhamdulillah. Akhirnya, detik-detik hitam itu sudah berlalu.
Pasti. Semua orang pastinya pernah diuji dengan pelbagai jenis dugaan. Semua tak terkecuali.
Namun, tanda perhatian dan kasih sayang Allah pada hamba-hamba-Nya ini seringkali disalah tafsirkan sebagai kemusnahan, disalah ertikan sebagai perhentian terakhir hidup bagi mereka yang lemah akal dan jiwanya.
Tidak, aku tidak akan sekali-kali menyalahkan mereka. Kelemahan adalah sebahagian ‘anggota’ manusia, ketidaksempurnaan pula ada ‘nama timangan’ mereka.
Dulu, ada satu kisah tentang rama-rama. Sering aku kisahkan cerita ini pada mereka yang dirundum kesedihan.
Dengan kisah ini jualah, terselit sekelumit harapan untuk menyisip secebis kekuatan buat mereka yang lemah.
Memang, aku tidak mampu menyanyikan lagu ‘Semangat Yang Hilang’ untuk mengobarkan kembali semangat mereka, aku juga tidak dapat memberi preskripsi ubat untuk menghilangkan ingatan-ingatan buruk itu, malah aku tidak akan mungkin punya kuasa ajaib untuk mengubah takdir jika bukan diri mereka sendiri yang ingin bangkit mengubah segalanya.
Rama-rama bagiku cukup simbolik. Ia lambang perjuangan hidup. Ia terbang mengibarkan kepak warna-warninya yang indah dan memukau setiap mata yang memandang.
Namun, dulunya rama-rama ini tak lebih dari seekor beluncas.
Ya, seekor beluncas yang dibenci, dianggap perosak dan sering dijauhi.
Namun, kemudian berubah menjadi kepompong sebelum bertransformasi menjadi seekor rama-rama yang cantik.
Kisah rama-rama ini kisah benar, bukan rekayasa atau hikayat dongeng penuh fantasi tetapi lebih kepada teori logik, sebuah cerita saintifik.
Pernah, terdapat sekumpulan saintis sedang membuat kajian terhadap rama-rama. Mereka memerhatikan dengan teliti proses bagaimana seekor rama-rama keluar dari kepompongnya.
Ia kelihatan seperti kepayahan, terseksa untuk mengeluarkan diri.
Berjam-jam lamanya, rama-rama ini mencuba, mencuba, dan terus mencuba untuk keluar dari kepompong yang kecil itu.
Akhirnya, ia berhasil. Rama-rama ini pun terbang ke sana dan ke mari seolah-olah meraikan kebebasannya.
Saintis-saintis muda ini kemudian beralih kepada rama-rama yang lain.
Mereka sepakat untuk membantu mengeluarkan rama-rama ini dari kepompongnya dengan menggunting kepompong tersebut.
Rama-rama ini berhasil ‘di’keluarkan dengan mudahnya.
Namun, tahukah kamu apa yang terjadi dengan rama-rama ini?
Tidak, ia tidak mati. Ia masih hidup, ia meneruskan hidupnya dalam keadaan cacat seumur hidup.
Ia tidak berupaya untuk terbang, tidak akan pernah mampu terbang seperti layaknya. Bukankah ini lebih malang?
Ternyata, segala kesukaran serta kepayahan ketika berusaha keluar dari kepompong itulah yang memberi kekuatan bagi seekor rama-rama untuk terbang.
Hakikatnya, apa yang tidak membunuh kita itulah yang melangsungkan kehidupan ini. Kita tidak akan kenal bahagia sebelum melalui sengsara, tidak kenal cinta sebelum faham erti benci, tidak menghargai senyuman tanpa air mata pedih.
Kitaran hidup ini perlu didalami, jatuh bangunnya, turun naiknya, takdir dan karma. Tentu, kata–kata ini sering kita dengar di mana-mana, “setiap yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya”.
Ini bukan kata-kata kosong yang palsu. Bukan. Tetapi, jangan pula tanyakan padaku, bila dan bagaimana?
Tetapi bersabarlah. Airmata tidak abadi, kering suatu masa nanti. Percayalah, keajaiban itu pasti ada.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan setiap yang berlaku.........:)

No comments:

Post a Comment