Disaat teruji sekeping hati dengan kehadiran insan yang memiliki ciri-ciri insan idaman. Hati yang tertutup rapat dari sesiapa yang pernah datang mula menerima kehadiran seseorang yang menghulurkan tali ikatan. Sungguh tidak terduga sebuah perasaan yang terpendam sendirian rupanya mendapat balasan. Hati mana tidak berbunga harapan.
Setulus itu dia datang dan menyampaikan pesanan beserta sekalung ucapan yang terlalu indah dirasakan. Namun, tidak terduga tangan yang sedang berupaya menyambut rupanya tidak kesampaian. Dicantas tegahan dan mundur segala keriangan.
Di saat hatimu teruji dengan ujian yang sukar dilawan, kehendakmu ditentang tiada sokongan, pertemuan kian di jemput perpisahan, sudah pasti tiada suatu kata bisa menggambarkan hancurnya perasaan. Namun, kita harus percaya pada takdir dan ketentuan. Setiap segala yang berlaku diluar perancangan kita, barulah kita sedar bahawa ada kuasa yang maha Agung telah mengaturkan semuanya.
Takdirku Telah Tertulis. Jika sesuatu ditakdir menjadi milik kita, berbekal usaha yang sedikit cuma, sudah mampu diraih dengan mudah. Namun, jika sesuatu itu bukanlah ditakdirkan menjadi milik kita, perancangan paling mega yang kita cetuskan pun tidak mampu menandingi takdir Ilahi, sudah pasti kita tidak akan bisa memilikinya.
Segala yang ada di dunia ini adalah hak Allah. kerajaanNya luas meliputi alam raya, angkasa dan segala-galanya adalah milik Allah. Dan apa yang Allah kurniakan kepada kita, itulah rezeki kita jua dariNya. Bersyukurlah. Jangan di tangisi apa yang bukan menjadi milik kita. Allah tidak mengizinkannya kerana Allah tahu kita berhak memiliki yang lain. Allah sedang menilai kesabaran kita dan jika kita bersabar tentunya ada anugerah dariNya buat kita.
Ibnu Atoillah : “Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”
Terkadang cinta yang menginap di hati manusia jua suatu ujian. Dihadirkan perasaan itu dan pula dijauhkan dari mendapatkannya. Makanya, kita teruji dan mendepani hari-hari suram. Cubalah sedaya upaya untuk menepis setiap godaan. Percayalah bahawa jika sesuatu yang ditakdirkan betul-betul untuk kita, sesukar apa pun, dia akan kembali kepada kita. Begitu jua lah sebaliknya.
“Tidak sekali-kali akan menimpa Kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman bertawakal. (Surah al-Taubah 9: 51).”
Sapulah air mata yang terbit dari rasa kecewa. Kau terluka dan merana, tentunya Dia mengetahuinya. Alangkah indahnya jika perasaan itu diganti dengan tawakal dan reda. Berdoalah pada Allah yang memiliki segalanya. Semoga Allah ubati kekecewaan yang dirasa dengan bahagia yang akan hadir di kemudiannya.
InshaAllah…yakini bahawa Allah lah sebaik-baik pengatur kehidupan insan...
sedih..itulah yang saya alami
ReplyDeleteJangan bersedih lagi...La Tahzan..!..yakinlah pada ALLAH..Dia pasti akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu yang lebih baik....InsyaALLAH..aminn...........
DeleteAmin ya rabbal alamin
ReplyDelete